Aku datang untuk pergi...

Aku datang untuk pergi...

Wednesday, April 27, 2016

Bukan semuanya.


Terkadang terlalu banyak yang ingin ku tulis dan ku luahkan. Terlalu banyak rasa yang ingin aku kongsi bersama.

Namun kedewasaan ini  turut mengajarkanku sesuatu, tiada yang bisa mengerti seadanya dirimu, melainkan cuma Dia.

Jauh disudut hati ini berbisik, bukan semuanya, biarlah hanya Allah yang tahu.




Thursday, April 21, 2016

Dia amanah terindah buatku.




"Ummi ummi.. tengok ni."

"Muhammad lukis mata dengan mulut dia."

^_______^

Ya Allah.. tiba-tiba jadi sayu. T.T

Abang Muhammad, maafkan Ummi. Ummi sayang abang. Sayang sangat-sangat. Walaupun Ummi tak bekerja, masih terasa kurang perhatian yang Ummi berikan untuk abang. 

Maafkan Ummi. Ummi janji, mulai hari ini Ummi akan jadi Ummi yang lebih baik untuk Abang. Umi janji. 

Ya Allah, jadikanlah aku Ummi yang baik. Kurniakan aku sifat yang sentiasa berlemah-lembut, kasih dan sayang terhadapnya. Bantulah aku Ya Allah, agar sentiasa sabar melayan setiap kerenahnya. Sabar. Sabar. Sabar. Sabar yang tiada penghujungnya. 

Mohon doa sahabat-sahabat. Ameennkan doa ini. Ameenn Ameennn Ameennn Ya Rabbalalameenn.


Tuesday, April 19, 2016

Erti Luka.


"Luka itu apa?" Soalnya, memecahkan kesunyian.

"Luka itu kecederaan pada tubuh badan yang merosakkan dermis kulit akibat benda tajam. Boleh juga terhasil dari benda yang tumpul lalu meninggalkan kesan lebam." Jawabku ringkas. 

"Itu luka yang nampak. Bagaimana pula dengan luka yang tidak nampak? Luka yang teramat-amat dalam?" Soalnya.

"Ahhh, luka itu yang kau maksudkan dari tadi. Itu lukanya di hati, kan?" Soalku pula. 

"Ya. Luka yang rasanya amat sakit. Sakitnya tuh disini." Sambil tangannya menujah-nujah hati yang dirasakan sarat tadi. 

Aku ketawa melihat gelagatnya. Masih saja mampu melawak. 

"Bagi aku, luka itu apabila bahagia itu hilang dari hati. Bukan terhasil dari rasa yang ditinggalkan tetapi dari rasa yang enggan melepaskan." Jawabku lagi. 

Kali ini ku pandang wajahnya dalam-dalam. Ada air yang bertakung di kelopak matanya. Menunggu masa untuk membasahi bumi.

"Dia diam sahaja. Diamnya itu membuatku rasa penat. Aku rasa terbuang. Dia pergi menjauh. Kan luka juga namanya tu walaupun dia tidak menyakitkanku." Luahnya lagi berani.

"Itu luka sendiri namanya. Kenapa tidak kau balas juga dengan berdiam? Apa kau tidak penat bercinta dan patah hati berkali-kali? Kenapa tidak kau tunggu saja waktu itu dan pergi bersama dia yang kau pilih?" Jawabku.

"Bagi ku, waktu itu selalu saja datang. Tetapi tiap kali saja ku pilih, tiap kali itu juga akhirnya duka." Sambungnya.

Saat itu air matanya jatuh jua membasahi bumi. Lagi dan lagi.

"Katanya, hati itu dipilih bukannya memilih." Jawabku ringkas. 

"Tidak boleh begitu. Kalau kau membiarkan hati dipilih tanpa kau memilih, kan ianya boleh mengundang rasa kosong? Sebelah pihak saja pasti tidak menjadikan?" Jawabnya lagi.

"Hidup ini tidak sempurna. Begitu juga dengan cinta. Tidak ada cinta yang sempurna. Hidup harus terus. Melangkah dan terus melangkah kehadapan. Samaada dengan membawa hati atau meninggalkannya bersama seseorang. Hidup ini bukan tentang luka, bukan juga tentang hati. Bahagia itu bonus. Hidup bukan juga untuk mengejar bahagia. Tetapi hidup ini soal tanggungjawab dan masa depan. Masa depan kita semua disana." Luahku panjang lebar.

"Apa kau tidak mengejar bahagiamu?" Soalnya lagi.

"Jangan ditanya begitu saat ini. Manusia berubah. Manusia berpaling. Menjalani kehidupan masing-masing." Jawabku.

Dia bangun, membetulkan bajunya yang renyuk. Mengesat sisa air mata. Lantas menoleh kearahku. Tersenyum. Lama. Mengajakku untuk pergi dari situ dan mula melangkah satu demi satu meninggalkanku.

Aku bangun dan berlari kearahnya. Menggapai tangannya. Ada bayu yang berhembus saat itu dan menyapa wajahku, seakan membawa pesan dari seseorang. Sekaligus, aku merapikan hati yang tiba-tiba terserak kembali. 

Kami pergi dari situ. Dia bersama dengan makna kebersamaannya dan aku dengan hati yang hilang bertahun lalu.
.
.
.

Hati itu tersimpan kesan yang ditinggalkan oleh ingatan. Tetapi hidup ini bukan tentang luka dan hati. Tetapi tentang masa hadapan.


Saturday, April 9, 2016

La.. La Tahzan..



Sebenarnya hidup ini cukup indah, cuma terkadang kita lupa untuk melihatnya. 

Aku lihat begitu ramai yang bersedih. Menangis dan meratap apabila ditimpa sesuatu musibah. Ingin saja aku peluk tubuh yang sedang menangis itu. Ingin saja aku katakan padanya,

 "Sudahlah.. Jangan bersedih lagi, sapu air mata kau.."  

"Allah itu dekat. Cukup dekat". 

Ya, aku faham perasaan kau, kerana lama dulu aku juga pernah bersedih disaat diri terumbang-ambing dalam mengenal isi dunia. Lebih-lebih lagi apabila kau kehilangan orang yang disayangi. 

Pengharapan yang tidak kesampaian. Terkadang rasa seperti Allah tidak sayang. Terasa seperti Allah sedang menghukum. Hati bagai ditumbuk-tumbuk, remuk dan hancur. Berkali-kali tersungkur. 

Sebenarnya, bukan Allah tidak sayang. Bukan Dia tidak tahu hati kau hancur. Bukan Dia tidak tahu kau menangis semahunya. 

Tapi kerana Dia tahu dan sayang dia beri kau musibah. Dia beri kau ujian. Dia tarik segala nikmat. Dia beri kau kesakitan. Sehingga kau begitu penat, tenat dan lelah untuk berharap lagi pada dunia. 

Kau tahu? Hanya hati yang hancur sehancurnya akan mengharapkan pertolongan dan pengharapan sepenuhnya pada Allah. Sebenarnya Allah terlalu rindu pada kau. Ya, Allah tidak zalim sama sekali. Dia cuma mahu kau sedar, pengharapan kau pada dunia tidak akan mendatangkan apa-apa. Hanya sia-sia.

Dia hanya mahu hilangkan segala rasa pengharapan kau pada dunia. Kau jadi begini kerana kau terlalu taksub pada dunia, hingga kau lupa untuk meletakkan satu-satunya pengharapan kau padaNya. Allah sayang kau! Allah mahu perhatian kau tertumpu hanya padaNya.

Yang berlaku itu punya sebab. Sebab untuk kau belajar memberi dan menerima. Sebab untuk kau menjadi beratus kali lebih kuat dan tabah. Percayalah, hidup ini terlalu pendek untuk kau ratapi dan kesali. Sebaliknya, jika kau hayati dan selami setiap hikmah yang berlaku, kau pasti akan tersenyum mengenang begitu banyak kasih-sayang yang Allah hantarkan pada kau. 

Jadi, pulanglah... 
Pulanglah kepada cinta hakiki. Cinta penuh harap kepada yang Maha Esa. 





Sunday, April 3, 2016

Kerana batasan


Hidup tidak, mati pun tidak. Hati dibiar mati. Tidak berpaksi Ilahi. Realitinya, aku dan kau datang hanya untuk pergi.
.
.
.
Semuanya bermula disini. . .


Jika lihat pada dirinya, tiada apa yang menarik dan istimewa.


"Wajah polos tanpa secalit mekap mana mungkin kelihatan cantik dan menarik". Sangkaannya didalam hati.


Tetapi wajah itu berjaya juga memikat hati sang putera. Ini bukan putera katak tau. Ini putera kodok. Haha! Putera itu lalu meluahkan rasa cintanya yang dalam pada sang puteri kodok idaman hati. Kata putera, itulah cinta pandang pertamanya.


Setelah beberapa kali dipujuk dan dirayu, akhirnya hati sang puteri kodok pun cair macam coklat yang ditinggalkan didalam kereta, lantas menerima cinta sang putera kodok. Tepuk dahi!


Mereka hidup bahagia dalam dunia ciptaan mereka sendiri sehinggalah satu saat dimana mereka terpaksa berjauhan.


Dalam kejauhan dan kesibukan, puteri kodok seolah-olah terlupa kpd kewujudan putera kodok. Hari demi hari, perasaannya kpd putera kian pudar dan memudar sehingga akhirnya terus padam.


Puteri tekad meninggalkan sang putera. Dia sedar yang selama ini dia telah banyak berubah. Dia lupa pada Pemilik cinta sebenar. Entah bagaimana hati sang puteri jadi sayu mengenangkan dirinya yang kian parah diulit cinta dunia.


Lantas hadir pula watak lain dalam cerita cinta puteri. Awalnya puteri bercinta sakan dgn Pencipta cinta tetapi ternyata cintanya masih belum cukup kuat dan utuh. Muncul pula putera kedua. Putera katak!


Ya putera katak yang berlagak hero kononnya menyelamatkan puteri katak dari terus jatuh kedalam lembah yang dalam. Tepuk dahi! Tepuk dahi!


Putera katak sangat baik. Putera katak selalu nasihat yang baik-baik pada puteri katak. Solat awal waktu. Tutuplah aurat. Oh, puteri katak lemas lagi. Lemas dalam api "cinta islamik" mereka berdua.


Tak lama, kali ini putera katak pula yang harus pergi meninggalkan puteri katak. Putera katak terpaksa pergi jauh. Tinggallah puteri katak sendiri mengenang cinta islamiknya. Kini barulah puteri katak merasa sakitnya rasa ditinggalkan. Puteri katak sedar yang selama ini dia hanya puteri kodok dan katak. Meninggalkan dan ditinggalkan. Tepuk dahi, kali ini tepuk sampai lebam!


Begitulah dunia. Ibarat roda. Tapi cerita sang puteri tidak habis disitu. Puteri katak akhirnya berusaha membuang segala rasa pedih, perit dan pulang ke pangkal jalan. Jalan yang lurus, insyaAllah. Mencari erti cinta sebenar-benar cinta. Pemilik setiap cinta didunia.


Saban hari dan waktu, tiap malam berlalu, puteri menyerahkan sepenuh jiwanya yang satu pada Sang Pencipta segala cinta. Dia benar-benar kesal dan terkesan dengan mainan cinta dunia yang selama ini disanjung-sanjung. Tepuk dahi lagi dan lagi, lempang pipi sekali, kali ini sampai jatuh kerusi! Gedebuk!! Jatuh dah pun.


Air mata tak tertanggung mengenang kesilapan lalu. Tapi puteri sedar setiap yang berlaku punya hikmah tersendiri. Setiap yang hadir didalam hidup sang puteri punya makna yang cukup mendalam.


Kerana kesilapan hari semalam menjadi satu kekuatan untuk hari ini dan hari-hari mendatang. Lalu, sang puteri meraih dan merintih agar dia dimaafkan oleh Sang pemilik segala cinta kerana selalu melupakan sang Pemilik cinta sdg Dia tidak pernah melupakan sang puteri. Pedihnya!


Mungkin doa puteri didengari Sang Pemilik segala cinta selama ini, cuma doanya ditangguhkan dahulu untuk diberikan yang lebih baik. Akhirnya puteri bertemu dengan putera sejatinya. Bukan putera kodok, malah bukan jua putera katak.


Ini putera Ong Ong Gedek-Gedek. Hihihi. Mereka pun berkahwin dan hidup bahagia.


Pengajaran daripada cerita cinta sang puteri adalah. . .

Cukupkanlah diri kita dengan cinta sejati yakni cinta kepada Allah terlebih dahulu. Cinta sebenar-benar cinta. Rebutlah cinta Allah bukannya cinta dunia yang penuh keplastikkan. InsyaAllah Dia akan temukan pemilik cinta sejati buat kita. Cinta yang membawa kita lebih dekat kepada pemilik segala cinta, insyaAllah.


Cinta yang dipinjamkan olehNya tetap bukan jua milik kita. Ia pinjaman semata. Tetapi cinta padaNya itu kekal selamanya. Ingat, hidup bukan hanya utk mengejar cinta!

Kita datang untuk pergi. . .