Aku datang untuk pergi...

Aku datang untuk pergi...

Monday, August 21, 2017

Kesedihan yang belum lagi reda.



Rasa sedih yang hinggap di hati ini masih belum mahu pergi.  Masih belum mahu hilang. Seperti tiada sudahnya. 

"Kenapa sedih tak habis-habis lagi ni? Sudahlah tu duhai hati!" pujukku sendiri hiba. 

"Ya Allah... aku sedih Ya Allah." Entah kenapa jauh di dalam hati ku ini terasa begitu sedih, pilu, dan sendu yang mendayu-dayu.

Melihat mereka saja, mereka yang Kau pilih untuk menjadi tetamuMu sudah betul- betul meruntun jiwa ini. 

Apalagi pabila Kau jemput kesemua ahli keluargaku tanpa diriku. Kau jemput mereka semua yang ku sayang ke rumahMu untuk menjadi tetamuMu dan tidak diriku.

Bukan diriku...

Kau tidak menjemputku. Bukan aku. Bukan aku yang kau pilih untuk menjadi tetamuMu, apalagi untuk pergi bersama-sama mereka semua. 

Terasa seperti dibuang. Terbuang. 

Allah Allah... Berdosakah aku merasa sedih pilu begini? 

Benarlah walau punya segala, wang yang banyak malah sebukit sekali pun, tetapi jika masih belum punya izin dariMu, tetap jua kakiku masih berdiri kaku disini. 

Melihat dan menatap hanya dari jauh. Jauh berpuluh ribu batu. Bilakan sampai, bilakan menjejakkan kaki. Bilakan menyarung ihram suci, berhijad untukMu.

Apa mungkin niat belum betul. Belum lurus. 

Ya Allah, aku menunggu panggilanMu. Dimana aku boleh berada dekat dengan Kaabah. Dekat dengan Mu di tanah suci.

Mengelilinginya, melambai-lambai dan mengucup rindu. Mengucap dan mengalunkan talbiyah berulang-ulang. 

Apakah mungkin taubatku tidak diterima. Ya Allah, ampunilah. Jemputlah aku jua ke rumahMu. Menghamparkan segala rasa dan rindu, membawa diri yang hina lagi dina penuh dosa. 

Ratapan hati,
Insan hina.