Aku datang untuk pergi...

Aku datang untuk pergi...

Wednesday, January 3, 2018

Rindu kami di Bumi Haramain


Alhamdulillah syukur ke hadrat Ilahi, kerana dengan rahmat dan cintaNya, akhirnya sampai juga diriku yang penuh dosa ni di kota suci Mekah dan Madinah.

Kalaulah bukan kerana rahmat dan kasih-sayang dari Nya, tak mungkin walau sekali diriku ini dapat  menjejakkan kaki di bumi muliaNya yang penuh keberkatan.

Ku titipkan serba sedikit coretan disini, walau terlalu banyak yang ingin ku khabarkan. Moga-moga menjadi pengubat rindu dikala bayu kerinduan menyapa diri.

Rindu kami di Bumi Haramain,
2 Disember-13 Disember 2017.


Pengalaman indah mengerjakan ibadah umrah bersama bayi dan anak kecilku.

  ❤

Ketika melakukan umrah yang pertama, dari awal tawaf, saie sehinggalah bertahalul, sayalah orang yang mengendong baby ibrahim. Iyalahkan, nama pun umy kan. Hihi! Maha suci Allah, Allah jua lah yang memberi segala kekuatan. Memang kuat sungguh saya rasa masa tu.


Pada awalnya semasa melakukan tawaf saya bersama dengan yang lain tetapi entah bila saat dan ketika, saya terpisah dari semua. Terkadang nampak susuk tubuh ahli keluarga, terkadang hilang semula dalam timbunan manusia. Jadi, hanya saya dan Ibrahim yang ketika itu sedang nyenyak tertidur dalam gendongan.


Selesai tawaf 7 pusingan, solat sunat dan sempat menyusukan ibrahim, barulah saya berjumpa dengan suami semula dan kami melakukan saie bersama-sama sehinggalah bertahalul dan pulang semula ke hotel sambil makan aiskrim. Hehe!

*Nota penting: Pegang erat kain ihram suami ketika tawaf, insyaAllah tak akan hilang. Tapi janganlah sampai tersentuh  kulit, nanti batal pula wudhuknya. 😎


Umrah yang kedua, jua begitu. Saya masih setia mengendong Ibrahim dari awal hingga akhir. Kali ni, tak terpisah dah dari suami, alhamdulillah. Hihi! Dapat upah aiskrim lagi lepas tu. Sedap memang sedap tapi lepas tu... Jeng jeng jeng.


Hari berikutnya, usai solat subuh, saya demam dan sakit-sakit  seluruh badan.  Nak jalan pun tak larat. Angkat sikit kaki dah rasa sengal-sengal urat dan sakit belakang menangkap. Kaki terasa sejuk macam direndam ais. Disusuli selsema dan batuk yang teruk.


Salah diri sendiri juga. Tak jaga makan dan minum. Makanan macam-macam nak dicuba. Kebab, ayam goreng etc, aiskrim, dan minum air zam-zam yang sejuk macam ais tiap kali rasa haus hinggap dikerongkong.  Kononnya, tak nak cerewet dan memilih semasa disana  padahal semuanya nafsu nafsi. Huhuhu.

*Nota penting: Jaga makan dan minum. Makan supplement sunnah, jangan tunggu sakit nanti jadi seperti saya. Big No! 😳


Tapi tak dinafikan juga yang badan saya  sebenarnya terkejut sebab berjalan jauh hampir 15 000 km, dua hari berturut-turut sambil mengendong baby Ibrahim yang kui semangat. Hehehe! Badan manja!

*Nota penting: Ibadah umrah memang cukup mencabar, jangan ambil mudah. Persediaan perlu ada. 😉


Ceritanya, seharian jugalah saya terlantar di bilik. Huhuhu. Kebetulan hari dimana saya jatuh sakit tu, free and easy. Jadi saya hanya berehat di bilik saja, sedang jemaah lainnya memilih untuk beriktikaf di masjid. 😖

Saya juga terlepas untuk turut serta majlis tahlil dan akikah anak kedua saya, baby Ibrahim Zuhdi. Hanya suami dan ahli keluarga sahaja yang meraikannya  bersama jemaah umrah yang lainnya. Anak-anak bermalam di bilik saja bersama saya. Tak apalah, bukan rezeki dan saya redha malah saya amat bersyukur  semuanya telah selamat dijalankan.


Dan umrah yang seterusnya, suami pula yang  ambil alih tugas mengendong baby ibrahim. Hehehehe. Tapi dia tak pakai pun baby carrier macam saya. Didukungnya ibrahim dibahu seperti biasa. Kalau saya, mahu lenguh-lenguh tangan. Mana tak nya, tambah 3 kilo lagi, cukup sekampit beras cap rambutan tau baby Ibrahim tu. Hehe! (Berat badan Ibrahim 7 kilo waktu ni).

*Nota penting: Bawa baby carrier, sbb ia byk memudahkan terutama ketika tawaf dan saie. 


Bagi saya, bila dengan anak-anak ni, apa yang penting ialah, bila kita atau anak-anak rasa penat, berhentilah. Duduk sebentar, bagi anak-anak berehat. Bagi susu, salin pampers dan lain-lain. Jangan terburu-buru nak cepat habis. Tak terkejar orang lain tak apa, asalkan suami kita ada sentiasa bersama kita, depa mutawwif terbaik dari Allah buat kita, insyaAllah. Heeee. 

*Nota penting: Tahu kemampuan diri dan keluarga. Utamakan anak-anak.


Muhammad, anak pertama saya yang berusia 4 tahun tu, alhamdulillah dua kali umrah dia berjalan kaki sendiri. Ada juga sesekali aby dan amynya yang bergilir-gilir mendukung. Terima kasih amy hadi, danial, arif dan danish!  Umrah yang lain-lain, Muhammad berehat dan bermain dibilik sahaja.

*Nota penting: Kena pandai bergilir dan bahagi masa dengan keluarga yang lain. 


Cuma bagi saya, umrah bersama baby ibrahim tidaklah membebankan. Dia tak banyak ragam dan kerenah.  Sangat mudah dijaga. Menangis pun tidak melainkan ketika lapar. Nak tidur pun cuma ditepuk-tepuk (selepas kenyang), dan terus saja tidur bila digendong.

*Nota penting: Persiapkan semua kelengkapan baby secukupnya mengikut musim sejuk @ panas. Baby selesa, insyaAllah semua lancar.

Ada sekali dia demam pada hari terakhir di Madinah sebelum pulang ke tanah air, pun dia tidak menangis dan meragam. Dia hanya banyak minum susu dan tidur. Yang hilang, cuma senyuman dan telatah comelnya.  MasyaAllah, terima kasih Allah. Dialah yang banyak memudahkan kami. 


Dan seperti biasa, bila nak solat,  saya letakkan saja dia ditepi saya. Dia akan bermain sendiri. Kadang main dengan abangnya. Bila terasa lama kadang dia menangis,  kadang tidak. Tapi tak apa, disana, itu biasa. Bersahut-sahutan suara baby menangis.

*Nota penting: Banyakkan berdoa dan solatlah dengan tenang-tenang sahaja. Mohon kemudahan dariNya, insyaAllah.

Saya cuma lakukan perkara rutin seperti dirumah. Letakkan dia disebelah sejadah ketika saya solat. Mungkin juga dia telah biasa. Cuma bezanya kalau solat dirumah, selalunya dia akan ketawa dan kesukaan melihat saya solat terutama ketika saya sedang rukuk dan pergerakan menuju sujud. Rasanya dia ingat saya sedang bermain dengannya. Hihi!


Apa yang boleh saya simpulkan disini, pengalamannya pertama ini cukup indah walau ibadat yang dilakukan tidaklah begitu sempurna dan agak terhad.


Baru saya tahu besarnya ujian dan dugaan di kota suci ini. Bukan mudah. Begitu banyak dugaan, ujian dan cabaran yang menuntut seribu kesabaran. Disana kita akan kenal siapa sebenarnya diri kita.


Perlu diingatkan, persediaan fizikal yang mantap amat-amat diperlukan kerana melakukan ibadah umrah memerlukan tenaga yang banyak. Apalagi bila kita bersama anak-anak. Kekuatan fizikal harus kuat berganda-ganda. Itu belum lagi melakukan ibadah haji, subhanaAllah.


Muda, sihat tubuh dan badan memang  satu bonus. Beruntunglah, bagi mereka yang muda-muda lagi sudah mengerjakan haji dan umrah.


Mental dan emosi juga penting. Perlu banyakkan bersabar. Kerenah dan ragam anak bila penat etc, dan terutama ketika anak-anak nak minta permainan dari kita, perlu ditangani dengan penuh bijaksana. Keh keh keh!

Tapi kan, sebenarnya lagi mudah tangani kerenah anak sendiri berbanding kerenah pekerja imigresen yang berbangsa arab tu. Allah hu Rabby! Banyak-banyaklah bersabar ya. Hihi!


Semoga pengalaman dan sedikit perkongsian dari saya ini bermanfaat untuk semua. InsyaAllah amennn. Kepada semua yang sudi menjadi pembaca disini, saya doakan moga disampaikan Allah jua ke sana. Menjejakkan kaki ke bumi yang kita semua rindukan. Bumi terindah, Haramain.

Antara memori-memori terindah ❤


Subuh, Mekah


Ladang Unta, Mekah


Masjid Nabi pintu 25


Jabal Uhud, Madinah


Masjid Quba, Madinah


Kebun Kurma, Madinah