Aku datang untuk pergi...

Aku datang untuk pergi...

Thursday, May 26, 2016

Hendak ke mana?


Alangkah beruntungnya diri. 
Saat mengetahui ajal kian mendekati. Peringatan bahawa dunia ini hanya persinggahan menuju tempat tinggal abadi.

Lalu diri harus dipersiap kuat untuk bertemu Ilahi. 
Lakukan persiapan bukan putus harap dan menangisi.

Perginya diri untuk kembali menunai janji. Bertemu semula sesudah hidup dan mati.

Andai tak sempat melambai mengutus salam yang terakhir, tak mengapa, kerna yang pergi tak punya masa memikirkan apa yang ditinggalkannya lagi. 

Hanya mampu memikirkan nasib diri. Cukupkah bekalannya nanti. 

Allah...
Mohon doakan yang baik-baik buat si bakal mati ini. 

Aku akan pergi.
Sampai ketemu lagi.



















Sunday, May 22, 2016

Hati-hati berjubah ukhti.


Sebenarnya jubah atau gamis merupakan "pakaian luaran" yang menyaluti pakaian lain di dalamnya. 

Ia tidak disarungkan "kosong" begitu sahaja tanpa pakaian lain yang menyaluti bahagian tubuh badan.

Ia merupakan pakaian yang cukup sempurna tetapi awas, jubah juga boleh jadi pakaian yang amat seksi dan menjolok mata jika kita salah mengenakannya. 

Selain merupakan pakaian sunnah, (pakaian Rasulullah SAW dan isteri-isteri Nabi), ia merupakan pakaian yang sempurna untuk melindungi aurat seseorang bilamana ia cukup longgar, tidak jarang, nipis dan tidak menampakkan susuk badan. 

Pakailah seluar panjang setiap kali berjubah. Sarungkanlah jubah setelah kita memakai pakaian lain terlebih dahulu. Jika berlaku apa-apa yang diluar kawalan, insyaAllah aurat kita masih terjaga. 

Sempurnakanlah pemakaian jubah kita dengan memakai tudung yang labuh hingga menutup bahagian dada. 

Jika tidak, ia tidak berjaya dikatakan pakaian yang sempurna. Kita sedia maklum bagaimana jubah berjaya menayangkan lekuk-lekuk dibadan jika kita tidak berusaha untuk menyembunyikannya. 

Jadi ukhti, jagalah aurat kita sebaik mungkin sementara kita masih hidup, insyaAllah  Allah akan jaga aurat kita sebaiknya juga apabila kita mati. 

Kita tidak tahu bila dan bagaimana kita mati, samaada kemalangan, mati lemas atau lain-lain. Moga Allah sentiasa menjaga aurat kita sebaiknya. 

Allahhumaameenn.


Monday, May 9, 2016

Asalnya kita ini baik-baik.



Percayalah...

Sebenarnya kita semua orang yang baik. Tidak ada orang yang jahat. Cuma belum menjadi orang yang baik. 

Jika kita melihat ada orang lain yang belum menjadi baik, itu kerana persekitarannya, orang-orang yang berada disekelilingnya. 

Ibu bapa, rakan-rakan dan mereka yang rapat dengannya. Semua ini memberi pengaruh yang amat besar didalam kehidupan seseorang. Kasihanilah mereka, kerana mereka sedikit ketinggalan di belakang kita. Fahamilah, raihlah tangan mereka. Kita tidak mahu ke syurga sendiri. Kita bersama-sama. Kita berjamaah. 

Kita ini bukanlah jahat tetapi sebenarnya kita masih tidak tahu bagaimana hendak menjadi baik. Kita masih belum jumpa cara hendak menjadi baik.

Di dalam hati kita ini terdapat banyak ruang-ruang kebaikan dan kejahatan. Jika kita belum menjadi baik, selama ini kita masih belum menjumpai kunci-kunci kebaikan di hati-hati kita. 

Oleh itu, jadilah kita orang-orang yang menemukan kunci-kunci kebaikan untuk orang lain. Jadilah kita seperti matahari yang menyinari dan menerangi kehidupan orang lain. 

Percayalah, kita akan dapat apa yang kita beri. Jika kebaikan yang kita beri, kebaikan jugalah yang akan kita dapat dan begitu jugalah sebaliknya. 

Jika kita sudah menemui kunci-kunci kebaikan kita, bantulah orang lain dengan berterusan memberi kebaikan kepadanya. InsyaAllah, dengan berbuat baik, kita menjadi lebih baik dan mereka juga akan menjumpai kunci-kunci kebaikan di dalam hati-hati mereka yang telah lama mereka tidak temukan. 

Kita ini asalnya baik, juga yang menyukai dan mencintai perkara yang baik-baik. Pulanglah, mari kita pulang kepada kebaikan. 

Maafkanlah, jika belum memaafkan. Jika kita rasa kita sudah memaafkan, tetapi masih belum melupakan, sebenarnya kita masih belum lagi memaafkan. Maafkanlah seperti kita mahu Allah memaafkan dan mengampunkan kita. 

Jika kita sukar memaafkan, itu tandanya kita masih punya ego. Ego yang sangat tinggi sehingga kita rasa kita cukup besar, tidak boleh orang lain berbuat salah kepada kita. Kurangnya sifat tawaduk, rasa kehambaan dan kerdilnya kita. Jadi perbaikilah diri kita dengan mengenal dan mengingat Allah. Rawatlah jiwa-jiwa kita. 

Katakanlah saya maafkan kamu. Saya faham kamu. Saya sayang kamu. Semoga dengan itu hati-hati kita kembali tenang. Ibadah juga tenang. Mati juga dalam keadaan tenang. Moga-moga dengan kemaafan yang kita berikan, Allah membukakan hati-hati orang lain untuk turut memaafkan kita. Moga-moga Allah juga ingin memaafkan kita. Moga-moga Rasulullah kenal dan ingin senyum kepada kita. Allah.. Allah.. Allahhummaamin.