Aku datang untuk pergi...

Aku datang untuk pergi...

Wednesday, April 27, 2016

Bukan semuanya.


Terkadang terlalu banyak yang ingin ku tulis dan ku luahkan. Terlalu banyak rasa yang ingin aku kongsi bersama.

Namun kedewasaan ini  turut mengajarkanku sesuatu, tiada yang bisa mengerti seadanya dirimu, melainkan cuma Dia.

Jauh disudut hati ini berbisik, bukan semuanya, biarlah hanya Allah yang tahu.




Thursday, April 21, 2016

Dia amanah terindah buatku.




"Ummi ummi.. tengok ni."

"Muhammad lukis mata dengan mulut dia."

^_______^

Ya Allah.. tiba-tiba jadi sayu. T.T

Abang Muhammad, maafkan Ummi. Ummi sayang abang. Sayang sangat-sangat. Walaupun Ummi tak bekerja, masih terasa kurang perhatian yang Ummi berikan untuk abang. 

Maafkan Ummi. Ummi janji, mulai hari ini Ummi akan jadi Ummi yang lebih baik untuk Abang. Umi janji. 

Ya Allah, jadikanlah aku Ummi yang baik. Kurniakan aku sifat yang sentiasa berlemah-lembut, kasih dan sayang terhadapnya. Bantulah aku Ya Allah, agar sentiasa sabar melayan setiap kerenahnya. Sabar. Sabar. Sabar. Sabar yang tiada penghujungnya. 

Mohon doa sahabat-sahabat. Ameennkan doa ini. Ameenn Ameennn Ameennn Ya Rabbalalameenn.


Tuesday, April 19, 2016

Erti Luka.


"Luka itu apa?" Soalnya, memecahkan kesunyian.

"Luka itu kecederaan pada tubuh badan yang merosakkan dermis kulit akibat benda tajam. Boleh juga terhasil dari benda yang tumpul lalu meninggalkan kesan lebam." Jawabku ringkas. 

"Itu luka yang nampak. Bagaimana pula dengan luka yang tidak nampak? Luka yang teramat-amat dalam?" Soalnya.

"Ahhh, luka itu yang kau maksudkan dari tadi. Itu lukanya di hati, kan?" Soalku pula. 

"Ya. Luka yang rasanya amat sakit. Sakitnya tuh disini." Sambil tangannya menujah-nujah hati yang dirasakan sarat tadi. 

Aku ketawa melihat gelagatnya. Masih saja mampu melawak. 

"Bagi aku, luka itu apabila bahagia itu hilang dari hati. Bukan terhasil dari rasa yang ditinggalkan tetapi dari rasa yang enggan melepaskan." Jawabku lagi. 

Kali ini ku pandang wajahnya dalam-dalam. Ada air yang bertakung di kelopak matanya. Menunggu masa untuk membasahi bumi.

"Dia diam sahaja. Diamnya itu membuatku rasa penat. Aku rasa terbuang. Dia pergi menjauh. Kan luka juga namanya tu walaupun dia tidak menyakitkanku." Luahnya lagi berani.

"Itu luka sendiri namanya. Kenapa tidak kau balas juga dengan berdiam? Apa kau tidak penat bercinta dan patah hati berkali-kali? Kenapa tidak kau tunggu saja waktu itu dan pergi bersama dia yang kau pilih?" Jawabku.

"Bagi ku, waktu itu selalu saja datang. Tetapi tiap kali saja ku pilih, tiap kali itu juga akhirnya duka." Sambungnya.

Saat itu air matanya jatuh jua membasahi bumi. Lagi dan lagi.

"Katanya, hati itu dipilih bukannya memilih." Jawabku ringkas. 

"Tidak boleh begitu. Kalau kau membiarkan hati dipilih tanpa kau memilih, kan ianya boleh mengundang rasa kosong? Sebelah pihak saja pasti tidak menjadikan?" Jawabnya lagi.

"Hidup ini tidak sempurna. Begitu juga dengan cinta. Tidak ada cinta yang sempurna. Hidup harus terus. Melangkah dan terus melangkah kehadapan. Samaada dengan membawa hati atau meninggalkannya bersama seseorang. Hidup ini bukan tentang luka, bukan juga tentang hati. Bahagia itu bonus. Hidup bukan juga untuk mengejar bahagia. Tetapi hidup ini soal tanggungjawab dan masa depan. Masa depan kita semua disana." Luahku panjang lebar.

"Apa kau tidak mengejar bahagiamu?" Soalnya lagi.

"Jangan ditanya begitu saat ini. Manusia berubah. Manusia berpaling. Menjalani kehidupan masing-masing." Jawabku.

Dia bangun, membetulkan bajunya yang renyuk. Mengesat sisa air mata. Lantas menoleh kearahku. Tersenyum. Lama. Mengajakku untuk pergi dari situ dan mula melangkah satu demi satu meninggalkanku.

Aku bangun dan berlari kearahnya. Menggapai tangannya. Ada bayu yang berhembus saat itu dan menyapa wajahku, seakan membawa pesan dari seseorang. Sekaligus, aku merapikan hati yang tiba-tiba terserak kembali. 

Kami pergi dari situ. Dia bersama dengan makna kebersamaannya dan aku dengan hati yang hilang bertahun lalu.
.
.
.

Hati itu tersimpan kesan yang ditinggalkan oleh ingatan. Tetapi hidup ini bukan tentang luka dan hati. Tetapi tentang masa hadapan.


Saturday, April 9, 2016

La.. La Tahzan..



Sebenarnya hidup ini cukup indah, cuma terkadang kita lupa untuk melihatnya. 

Aku lihat begitu ramai yang bersedih. Menangis dan meratap apabila ditimpa sesuatu musibah. Ingin saja aku peluk tubuh yang sedang menangis itu. Ingin saja aku katakan padanya,

 "Sudahlah.. Jangan bersedih lagi, sapu air mata kau.."  

"Allah itu dekat. Cukup dekat". 

Ya, aku faham perasaan kau, kerana lama dulu aku juga pernah bersedih disaat diri terumbang-ambing dalam mengenal isi dunia. Lebih-lebih lagi apabila kau kehilangan orang yang disayangi. 

Pengharapan yang tidak kesampaian. Terkadang rasa seperti Allah tidak sayang. Terasa seperti Allah sedang menghukum. Hati bagai ditumbuk-tumbuk, remuk dan hancur. Berkali-kali tersungkur. 

Sebenarnya, bukan Allah tidak sayang. Bukan Dia tidak tahu hati kau hancur. Bukan Dia tidak tahu kau menangis semahunya. 

Tapi kerana Dia tahu dan sayang dia beri kau musibah. Dia beri kau ujian. Dia tarik segala nikmat. Dia beri kau kesakitan. Sehingga kau begitu penat, tenat dan lelah untuk berharap lagi pada dunia. 

Kau tahu? Hanya hati yang hancur sehancurnya akan mengharapkan pertolongan dan pengharapan sepenuhnya pada Allah. Sebenarnya Allah terlalu rindu pada kau. Ya, Allah tidak zalim sama sekali. Dia cuma mahu kau sedar, pengharapan kau pada dunia tidak akan mendatangkan apa-apa. Hanya sia-sia.

Dia hanya mahu hilangkan segala rasa pengharapan kau pada dunia. Kau jadi begini kerana kau terlalu taksub pada dunia, hingga kau lupa untuk meletakkan satu-satunya pengharapan kau padaNya. Allah sayang kau! Allah mahu perhatian kau tertumpu hanya padaNya.

Yang berlaku itu punya sebab. Sebab untuk kau belajar memberi dan menerima. Sebab untuk kau menjadi beratus kali lebih kuat dan tabah. Percayalah, hidup ini terlalu pendek untuk kau ratapi dan kesali. Sebaliknya, jika kau hayati dan selami setiap hikmah yang berlaku, kau pasti akan tersenyum mengenang begitu banyak kasih-sayang yang Allah hantarkan pada kau. 

Jadi, pulanglah... 
Pulanglah kepada cinta hakiki. Cinta penuh harap kepada yang Maha Esa.