Sebenarnya hidup ini cukup indah, cuma terkadang kita lupa untuk melihatnya.
Aku lihat begitu ramai yang bersedih. Menangis dan meratap apabila ditimpa sesuatu musibah. Ingin saja aku peluk tubuh yang sedang menangis itu. Ingin saja aku katakan padanya,
"Sudahlah.. Jangan bersedih lagi, sapu air mata kau.."
"Allah itu dekat. Cukup dekat".
Ya, aku faham perasaan kau, kerana lama dulu aku juga pernah bersedih disaat diri terumbang-ambing dalam mengenal isi dunia. Lebih-lebih lagi apabila kau kehilangan orang yang disayangi.
Pengharapan yang tidak kesampaian. Terkadang rasa seperti Allah tidak sayang. Terasa seperti Allah sedang menghukum. Hati bagai ditumbuk-tumbuk, remuk dan hancur. Berkali-kali tersungkur.
Sebenarnya, bukan Allah tidak sayang. Bukan Dia tidak tahu hati kau hancur. Bukan Dia tidak tahu kau menangis semahunya.
Tapi kerana Dia tahu dan sayang dia beri kau musibah. Dia beri kau ujian. Dia tarik segala nikmat. Dia beri kau kesakitan. Sehingga kau begitu penat, tenat dan lelah untuk berharap lagi pada dunia.
Kau tahu? Hanya hati yang hancur sehancurnya akan mengharapkan pertolongan dan pengharapan sepenuhnya pada Allah. Sebenarnya Allah terlalu rindu pada kau. Ya, Allah tidak zalim sama sekali. Dia cuma mahu kau sedar, pengharapan kau pada dunia tidak akan mendatangkan apa-apa. Hanya sia-sia.
Dia hanya mahu hilangkan segala rasa pengharapan kau pada dunia. Kau jadi begini kerana kau terlalu taksub pada dunia, hingga kau lupa untuk meletakkan satu-satunya pengharapan kau padaNya. Allah sayang kau! Allah mahu perhatian kau tertumpu hanya padaNya.
Yang berlaku itu punya sebab. Sebab untuk kau belajar memberi dan menerima. Sebab untuk kau menjadi beratus kali lebih kuat dan tabah. Percayalah, hidup ini terlalu pendek untuk kau ratapi dan kesali. Sebaliknya, jika kau hayati dan selami setiap hikmah yang berlaku, kau pasti akan tersenyum mengenang begitu banyak kasih-sayang yang Allah hantarkan pada kau.
Jadi, pulanglah...
Pulanglah kepada cinta hakiki. Cinta penuh harap kepada yang Maha Esa.
No comments:
Post a Comment